Pages

Sunday, January 24, 2010

Pengalaman dalam kerjaya dan pendidikan


Pernah berkhidmat di Utusan Melayu sebagai wartawan di Mingguan Malaysia dan Anggota Sidang Pengarang majalah WANITA -- dari 1968 hingga 1976. Jawatan terakhir Zaharah di Utusan Melayu adalah sebagai Ketua Redaksi majalah MASTIKA dari 1975-1976. Setelah meninggalkan Kumpulan Utusan, Zaharah berkhidmat pula di Berita Publishing, (anak syarikat Kumpulan The New Straits Times) dari 1976 hingga 1985. Jawatan terakhirnya di sana ialah sebagai Editor Umum Penerbitan Berbahasa Malaysia (Editor General Bahasa Publications) yang merangkumi semua penerbitan majalah serta buku berbahasa Melayu di Berita Publishing.
Dari 1985 hingga 1986 Zaharah menjadi Editor Urusan di Pustaka Cipta Sdn. Bhd. Zaharah meninggalkan Pustaka Cipta setelah mendapat Dana DERMA CIPTA Dewan dari Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membuat penyelidikan tentang perjuangan Panglima Salleh Selempang Merah yang mengetuai orang kampung membenteras kegiatan dan kezaliman komunis Bintang Tiga dalam tahun 1945 di Batu Pahat, yang kemudian ditulis dalam bentuk novel menggunakan judul Panglima Salleh Selempang Merah.
Pada 1988, Zaharah menerima pelawaan Pakar Sakit Puan, Dr. Hamid Arshad yang waktu itu menjadi Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk menjadi editor majalah Timang keluaran LPPKN. Zaharah berkhidmat di badan berkanun tersebut sehingga 1995, apabila beliau memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa.
Zaharah menulis novel yang merupakan antara terpanjang di Malaysia (1351 halaman) berjudul Anugerah (1995), mengenai sejarah perjuangan orang Melayu menentang Malayan Union dan seterusnya menuntut kemerdekaan. Para pengkaji menyifatkan Anugerah bukan sekadar sebuah novel sejarah, tetapi juga novel politik dan feminisme iaitu tiga dalam satu. Novel ini berakhir dengan perisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Novel Anugerah juga membawakan tuah kepada Zaharah Nawawi apabila dianugerahkan Sea Write Award di Bangkok Thailand. Di samping itu Anugerah juga sudah beberapa kali dipentaskan. Beberapa tokoh sastera turut sependapat bahawa novel Anugerah sebagai maha karya Zaharah Nawawi.



Dari 1997 hingga 1998, Zaharah menjadi Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka dengan menyiapkan buku proses kreatifnya berjudul Merentas Laluan. Semenjak 1989 menerusi cerpen Suara Ombak (Dewan Budaya) dan Emak Tak Marah Lagi, (Mingguan Malaysia) beliau banyak memenangi hadiah. Terakhir beliau memenangi hadiah utama Hadiah Sastera Darul Ta’zim V menerusi kumpulan puisi Warna dan Wajah, dan cerpen Suara.

Dengan cita-cita mahu melatih penulis pelapis supaya menjadi penulis yang benar-bernar berwibawa, mulai 1993 Zaharah mengadakan bengkel-bengkel penulisan meliputi beberapa genre, termasuk novel, cerpen, puisi, kritikan, drama radio, bahasa, undang-undang dan rencana. Pada November 1997, Zaharah menubuhkan kelab penulisannya sendiri dengan nama KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) yang ahlinya terdiri daripada penulis/peserta yang pernah mengikuti bengkel-bengkelnya. Dengan itu tercatatlah dalam sejarah kesusasteraan dan penulisan negara bahawa Zaharah Nawawi adalah satu-satunya penulis/sasterawan yang berdikari melatih penulis pelapis tanpa dinaungi mana-mana pihak.



Dan kelab Zaharah bukan sahaja kekal hidup sehingga sekarang, malah antara kelab yang tergiat mengadakan bimbingan kepada penulis/bakal penulis yang ingin memenuhkan dada dengan pelbagai ilmu penulisan.

Hasil daripada usaha gigih membimbing berkenaan telah ramai lahir penulis berwibawa dan berketrampilan seperti Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim (sekadar menyebut beberapa nama) yang boleh dikatakan sudah berada di puncak kejayaan dan sukar digugah zaman di samping ramai lagi yang baru muncul dan sedang melakar nama seperti Mohd Kholid Hamzah, Tiras R, Haryati Abu Nasir, W.B Rendra dan Ibnu Ahmad Al-Kurawi (sekadar menyebut beberapa nama.)

Usaha berterusan Zaharah membimbing dan melahirkan penulis berjaya telah membuka mata banyak pihak. Selain sering diundang menjadi pembimbing di bidang penulisan kreatif, pada Disember 2004 Zaharah diminta oleh Dewan Bahasa dan Pustaka membimbing 23 penulis yang menjadi ahli Kepezi untuk melahirkan novel industri. Hasilnya 20 buah novel yang bertemakan pelbagai jenis industri berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan. Dan mulai Jun 2006 Zaharah ditawarkan menjadi pembimbing tetap bengkel cerpen tajaan Bahagian Sastera DBP yang diadakan diseluruh negara melalui Zon Tengah, Zon Timur, Zon Utara, Zon Selatan, Zon Sarawak dan akhirnya bengkel cerpen DBP Zon Sabah diadakan dari 1 hingga 3 Disember 2006.
Karya-karya Zaharah terutama Jalur Sinar Di Celah Daun dan Anugerah menjadi bahan kajian sarjana dan ilmuan di benua Eropah: Perancis, Denmark dan Australia.



Pada 2001 Zaharah menerima Geran Penulis daripada Dewan Bahasa untuk membuat novel penyelidikan (novel indusrti) berlatar belakangkan Paris, Grasse (Kota Minyak Wangi terletak 1,000 km dari Paris) dan Malaysia. Lalu terlahirlah novel yang diberi judul Haruman Kencana.

Melalui novel Cinta Penyerahan dan Tragedi, Zaharah berjaya memecahkan tradisi penulisan negara yang selama ini hanya ditulis seorang pengarang bagi sebuah novel, dengan menghasilkan karya yang ditulis berdua bersama Hamidah Kamaruddin. Sementara Warna & Wajah adalah kumpulan puisi pertama Zaharah, terbit pada 2003.




Ringkasnya:

Tamat darjah 6 Sekolah Melayu Kampung Parit Jawa Mukim 4 Batu Pahat Johor pada 1952.
1. 1957 -- 1961 : Guru bahasa Melayu di sekolah Rendah dan Menengah Jenis Kebangsaan Cina, Yong Peng, Johor.
2. 1961 -- 1966: Kerani kutipan tambang di Syarikat Penambang Melayu Batu Pahat, Johor.
3. 1966 -- 1968: Juruhebah, jurutaip dan penterjemah sambilan di bahagian siaran antarabangsa (Suara Malaysia) Perbadanan Penyiaran Jepun (NKH), Tokyo, Jepun.
4. 1968 -- 1975: Wartawan di Syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. di Kuala Lumpur.
a. 1968-1971 – Pengelola halaman sastera/penulis rencana ‘Kisah Masyarakat’ di Mingguan Malaysia.
b. 1971-1975 -- Anggota Sidang Pengarang Majalah WANITA
c. 1975-1976 -- Ketua Redaksi majalah MASTIKA.
5. 1976 -- 1985: Wartawan di Berita Publishing Sdn. Bhd (anak syarikat kumpulan akhbar NST) Kuala Lumpur.
a. 1976-1977 -- Pemberita gred B di majalah JELITA
b. 1977-1980 -- Penolong Pengarang JELITA
c. 1980-1982 -- Pengarang majalah JELITA
d. 1982-1985 -- Pengarang 'Am Penerbitan Berbahasa Melayu (merangkumi majalah dan buku) terbitan Berita Publishing.
e. 1985 -- Wartawan Pelatih di Berita Harian
6. 1985 -- 1986: Editor Urusan Di Pustaka Cipta Sdn. Bhd.
7. 1986 -- 1988: Penulis bebas.
8. 1988 -- 1995: Editor Majalah Timang Terbitan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
9. 1995 -- Kembali menjadi penulis sepenuh masa.
10. Jun 1997 –Mei 1998: Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka, K.L dengan projek penulisan autobiografi Merentas Laluan

PANEL PENILAI SAYEMBARA

1. Ketua Panel Hakim Peraduan Menulis Novel Kanak-Kanak DBP; 1991
2. Panel Hakim Peraduan Menulis Cerpen Guru DBP-BPG; 1998
3. Ketua Panel Hakim pertandingan cerpen Alam Sekitar kategori Pelajar anjuran Kementerian Alam Sekitar; 2000
4. Panel Hakim Peraduan Cereka Sains - cerpen dan puisi - Karya net DBP; 2002
5. Panel Hakim Peraduan Cerpen Perpaduan – Kementerian Perpaduan Negara- DBP; 2003
6. Panel Hakim Peraduan Cereka Sains - cerpen dan puisi - Karya net DBP ; 2003
7. Panel Hakim Peraduan Cereka Sains - cerpen dan puisi - Karya net DBP; 2004
8. Panel Hakim Peraduan Cereka Sains - cerpen dan puisi - Karya net DBP; 2005
9. Ketua Panel Hakim pertandingan cerpen Sempena Hari Buku Sedunia DBP; 2007
10. Panel Penilai Sayembara Mengarang Cerpen Sempena 50 Tahun Merdeka; DBP; 2007

No comments:

Post a Comment